Polis Tahan Lima Lelaki Larikan Dua Beradik Di Jenjarom

08/08/2024 06:20 PM

SHAH ALAM, 8 Ogos (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki termasuk dua warga asing dipercayai terlibat melarikan dua beradik dari rumah seorang wanita di Jenjarom, Kuala Langat, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 29 tahun pada 8.45 pagi pada hari kejadian yang mendakwa dua adik lelakinya dilarikan beberapa lelaki tidak dikenali dengan bersenjatakan batang besi.

Beliau berkata dalam kejadian pada 7 pagi itu, pengadu mendakwa rumahnya didatangi beberapa lelaki dengan menaiki sebuah kereta sebelum bertindak memanggil kedua-dua mangsa.

"Suspek membawa kedua-dua mangsa yang berumur 20 dan 26 tahun beredar dari rumah sebelum seorang daripada adik pengadu pulang semula ke rumah beberapa minit kemudian.

“Pengadu cuba menghubungi adik lelakinya berusia 26 tahun yang telah dilarikan itu, namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan lima lelaki berusia 22 hingga 37 tahun itu sekali gus menyelamatkan mangsa dalam serbuan di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang pada 2.30 pagi tadi.

Beliau berkata selain penahanan, polis merampas sebuah kenderaan dipercayai dicuri selain beberapa peralatan pecah rumah dan barang hasil kegiatan pecah rumah.

Motif kejadian katanya dipercayai berpunca daripada mangsa yang tidak mahu membayar ganti rugi kenderaan suspek yang dipinjamnya dan polis percaya hasil penahanan mereka berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di Kuala Langat.

“Semakan mendapati dua lelaki tempatan itu memiliki rekod jenayah lampau manakala kesemuanya akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 365, 379A serta 457 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan