70 Peratus Aduan Diterima SPRM Berkaitan Perolehan Awam

08/08/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 70 peratus daripada aduan yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat Julai lepas adalah berkaitan perolehan awam, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) suruhanjaya itu Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Beliau berkata peratusan berkenaan menunjukkan peningkatan aduan iaitu 69 peratus pada tahun lepas dan 67 peratus pada 2022.

“Siasatan telah dijalankan terhadap aduan yang diterima. Pada 2022, kira-kira 60 peratus daripada siasatan adalah berkaitan perolehan awam manakala pada 2023 kira-kira 59 peratus sebelum meningkat kepada 66 pada 2024 (setakat 20 Julai),” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Perolehan Kebangsaan ke-10 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini hari ini.

Norazlan berkata dalam pelbagai kes perolehan awam yang disiasat itu, SPRM telah mengenal pasti kebanyakan kesalahan rasuah adalah berkaitan dengan salah guna kuasa, meminta atau menerima rasuah dan kelulusan tuntutan untuk kerja atau perkhidmatan yang tidak dilaksanakan sepenuhnya atau pembekalan yang tidak dihantar sepenuhnya.

“Semua ini menyebabkan peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk barangan dan perkhidmatan awam hilang begitu sahaja melalui kontrak yang mahal, kualiti barangan dan perkhidmatan terjejas disebabkan penggunaan bahan yang tidak bermutu dan pembinaan yang tidak berkualiti dan perkhidmatan yang tidak boleh dipercayai mendatangkan risiko kepada kesejahteraan dan keselamatan awam,”  katanya.

Norazlan berkata tindakan rasuah sedemikian mendatangkan kesan buruk terhadap ekonomi dan sosial sekali gus menyebabkan pembaziran sumber serta ketidakcekapan yang akhirnya mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan dan menghakis integriti awam.

Beliau berkata membanteras rasuah membabitkan perolehan awam sentiasa menjadi satu daripada tumpuan strategik suruhanjaya itu dalam mencegah ketirisan dan meningkatkan hasil negara.

Hal itu katanya terbukti menerusi 126 program yang dilaksanakan yang menumpukan kepada mengetengahkan berkaitan rasuah dalam perolehan termasuk ceramah, seminar dan forum melibatkan pihak kerajaan, swasta serta syarikat berkaitan kerajaan.

Norazlan berkata pada 2022, SPRM menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola telah mengemukakan 113 syor kepada agensi kerajaan, 65 syor pada tahun lepas dan 17 setakat bulan lepas.

“Memandangkan banyak daripada proses ini pada masa ini diuruskan oleh manusia, terdapat keperluan untuk teknologi bagi mengawal tingkah laku manusia dan mengurangkan peluang terhadap rasuah.

“Sistem seperti ePerolehan menawarkan penyelesaian yang menyelaraskan proses perolehan, bertindak sebagai pemangkin kepada inovasi dan merevolusikan amalan perolehan menerusi kecerdasan buatan bersepadu, rantaian blok dan pengkomputeran awan, yang menghasilkan proses perolehan yang efisien.

“Terdapat juga keperluan untuk meningkatkan pengetahuan keupayaan perolehan melalui latihan dan pembangunan, meningkatkan standard etika dan intervensi antirasuah dalam perolehan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan