Perintah pindah milik tanah kepada Semantan Estate, kerajaan fail rayuan hari Ini

08/08/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya untuk memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu di sini kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).

Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta, menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan notis rayuan difailkan oleh Jabatan Peguam Negara bagi pihak Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku perayu lewat petang ini secara dalam talian.

Beliau berkata salinan notis itu telah dihantar kepada peguam yang mewakili Semantan Estate menerusi e-mel.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Beliau juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.

Ahmad Shahrir memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula semalam selain memerintahkan kerajaan membayar kos RM50,000.

Hakim itu turut memerintahkan defendan agar mendaftarkan plaintif (Semantan Estate) sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 Nov 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.

Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan