Pengawal Keselamatan Ditahan Selepas Senapang Meletup Tanpa Disengajakan

09/08/2024 11:51 AM

ALOR GAJAH, 9 Ogos (Bernama) -- Polis menahan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti yang dipercayai cuai ketika mengendalikan senapangnya, sehingga mengakibatkan satu das tembakan dilepaskan secara tidak sengaja, semasa dia sedang bertugas di Hospital Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang di Pejabat Unit Hasil hospital berkenaan, dan polis menahan pengawal keselamatan berumur 56 tahun itu selepas menerima aduan daripada pegawai operasi syarikat sekuriti tersebut pada kira-kira pukul 6.20 petang.

Beliau berkata senapang jenis 'Winchester' dibekalkan syarikat sekuriti itu dikatakan diletakkan di atas meja dalam keadaan kunci keselamatan tidak dipasang dan ketika pengawal keselamatan itu berdiri, paha kanannya terkena bahagian 'butt' senjata api itu, lalu ia terhentak ke lantai menyebabkan satu das tembakan dilepaskan.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.

Ashari berkata pengawal keselamatan itu telah bekerja di syarikat berkenaan sejak dua tahun lalu, dan baru mendapat lesen senjata api tahun lepas, yang dikeluarkan serta diperbaharui Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, Perlis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan