APMM Terengganu Rampas Dua Bot Nelayan Vietnam

09/08/2024 01:45 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot nelayan Vietnam di perairan negeri itu pada Rabu lepas. 

Pengarahnya Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata tangkapan itu dibuat oleh KM Rawa dalam Op Naga Barat di kedudukan sekitar 192 batu nautika Timur Laut muara Kuala Terengganu.

Beliau berkata turut ditahan 17 nelayan asing termasuk kru dan tekong berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun.

"Kapal nelayan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di Zon Ekonomi Eksklusif negara sekitar 3.30 petang.

"Pemeriksaan mendapati kesemua kru dan tekong tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kebenaran perjalanan yang sah dan permit menangkap ikan di perairan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairulanuar berkata dua bot, satu tan hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan turut dirampas yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Beliau berkata operasi mengiringi bot ke Jeti Maritim Terengganu mengambil masa hampir 30 jam berikutan cuaca buruk dan ombak kuat.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu jika sabit kesalahan tekong boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala setiap kru bakal didenda RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 17 tangkapan dengan nilai rampasan sebanyak RM19.5 juta direkodkan sejak Januari hingga Rabu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan