Imigresen Serbu Kondominium, Tahan 38 Pendatang Tanpa Izin

09/08/2024 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan 38 pendatang tanpa izin terdiri 29 lelaki dan sembilan wanita dalam serbuan di dua blok kondominium di sini hari ini. 

Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata dalam Op Pintu berkenaan pihaknya menyerbu 25 unit kediaman di kondominium yang terletak di Sentul itu kira-kira 12.15 pagi tadi. 

Kesemua kediaman itu didiami warga asing dengan kadar sewa RM1,500 seunit. 

“Kita telah membuat pemeriksaan terhadap 102 warga asing di dua blok kondominium ini dan daripada jumlah itu seramai 38 pendatang tanpa izin berumur lingkungan lima hingga 64 tahun ditahan.

“Kesemua membabitkan warga India seramai 12 orang, Pakistan dan Nepal masing-masing 11 dan empat rakyat Filipina dipercayai melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa," katanya dalam sidang media hari ini. 

Wan Mohammed Saupee berkata Op Pintu itu dilancarkan selepas dua minggu risikan dilakukan pihaknya hasil maklumat orang ramai.  

Pemeriksaan awal menunjukkan pendatang tanpa izin yang ditahan itu bekerja sebagai pekerja pembinaan, pengawal keselamatan, pembantu rumah dan lain-lain.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM sentiasa menjalankan operasi 360 darjah dan akan mengambil tindakan ke atas pendatang, majikan atau mana-mana orang awam yang melindungi pendatang tanpa izin,” katanya.

Beliau berkata lima rakyat tempatan yang juga pemilik kediaman berkenaan bakal berhadapan tindakan kerana melindungi dan membenarkan pendatang tanpa izin berada di dalam premis milik mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan