Imigresen Kl Gempur Kelab Malam "elit", Tahan 27 Warga Asing

09/08/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen menahan 27 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen selepas menyerbu sebuah kelab malam elit di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata sembilan wanita dan 18 lelaki itu ditahan selepas pihaknya memeriksa 50 individu termasuk pelanggan serta pekerja kelab malam berkenaan dalam Op Gegar kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Beliau berkata kelab malam itu didapati menyediakan bilik karaoke dengan bayaran RM10,000 sehingga RM16,000  manakala bilik karaoke 'super VIP' pula mengenakan caj RM200,000, lengkap dengan layanan wanita warga asing. 

“Kami menyerbu pusat hiburan ini susulan aduan orang awam yang mengatakan terdapat aktiviti mencurigakan di kelab ini,” katanya kepada pemberita sejurus selepas tamat operasi awal pagi tadi. 

Difahamkan premis ini hanya menawarkan keahlian kepada pelanggan yang mempunyai baki wang lebih RM100,000 di dalam akaun bank mereka.

Wan Mohammed Saupee berkata mereka yagn ditahan terdiri daripada lapan wanita rakyat China serta seorang wanita Kazakhstan, dan selebihnya ialah sembilan lelaki warga China, lima warga Bangladesh, tiga warga Pakistan, dan seorang lelaki Kemboja, semuanya berumur 20 hingga 43 tahun.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah penyalahgunaan pas lawatan dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, dan semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Satu borang Imigresen 29 iaitu saman saksi juga akan dikeluarkan kepada pemilik premis dan dia diminta hadir ke Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuala Lumpur,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan