Cederakan Pengawal Keselamatan: Bekas Penghantar Makanan Didenda Rm1,300

09/08/2024 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas penghantar makanan yang videonya tular di media sosial kerana mengasari pengawal keselamatan warga Nepal, didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan lelaki itu di sebuah kondominium, bulan lepas.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamad Najib Sabri Soh, 41, mengaku bersalah mencederakan Shrestha Ram Bahadur, 36, di lobi lif sebuah kondominium di Jalan Putramas Off, Jalan Kuching di sini pada 10.03 malam, 26 Julai.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara dua bulan jika gagal membayar denda dan dia kemudian membayar denda itu.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh menghantar makanan di blok A2 kondominium itu tanpa membuka topi keledar dan mangsa menegurnya supaya membuka keledar itu, namun tertuduh tidak menghiraukannya lalu meletakkan makanan di atas kerusi mangsa sebelum beredar menaiki motosikal.

Mangsa kemudian memberitahu rakannya yang bertugas di pintu masuk kondominium itu supaya tidak membenarkan tertuduh keluar dan memintanya supaya mengambil makanan itu semula.

Tertuduh kemudian bertindak menolak mangsa sehingga terjatuh, ketika dia datang mengambil semula makanan itu menyebabkan pengawal keselamatan itu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahu kanan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prack Dit memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia kini tidak bekerja.

Sebelum ini, tular satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki bertindak mengasari pengawal keselamatan  semasa menghantar makanan di kondominium berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan