Kucing Tergantung Di Belakang Kereta: Polis Terima Laporan, JPV Buka Kertas Siasatan

09/08/2024 05:30 PM

NIBONG TEBAL, 9 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian sebuah pacuan empat roda yang tular membawa seekor kucing dalam keadaan terjerut pada leher dan tergantung pada bahagian belakang kenderaan itu di Jalan Merak 5, Simpang Ampat, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Chong Boo Khim berkata polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah SPS, menerima laporan berhubung kes tular di media sosial kira-kira pukul 5.29 petang semalam dan pemandu kenderaan itu mendakwa tidak menyedari kejadian tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu kereta itu yang merupakan lelaki tempatan, telah menemukan seekor kucing jalanan di kawasan rumahnya dalam keadaaan tidak terurus dan kemudiannya membawa haiwan tersebut ke sebuah klinik.

“Tujuan lelaki itu membawa kucing tersebut adalah untuk memandulkan haiwan itu dan semasa dalam perjalanan ke klinik, dia tidak menyedari kucing yang diletakkan di bahagian belakang cuba melompat keluar dan tergantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki itu hanya menyedarinya setelah sampai di klinik haiwan dan terus bertindak membukakan ikatan tali pada leher kucing tersebut.

Chong berkata kes itu dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut dan polis menasihati orang ramai agar tidak memanipulasikan kes viral yang boleh menyebabkan kekeliruan.

Sementara itu, Pengarah JPV Pulau Pinang Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata pihaknya telah merekodkan keterangan pemandu pacuan empat roda berusia 30-an dan membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.

Beliau berkata pihaknya membuka kertas siasatan kes itu di bawah perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

“Kami terima aduan berhubung kejadian itu 11.30 pagi semalam dan terus ke lokasi kejadian, dan berjaya menemui pemandu bersama kucing tersebut yang ketika ini haiwan berkenaan di bawah jagaan JPV Pulau Pinang, pegawai veterinar telah menjalankan pemeriksaan lanjut dan rawatan, ia dalam keadaan sihat.

“Lelaki itu mendakwa mahu membawa kucing itu ke klinik, namun cara dia meletakkan haiwan tersebut dalam bakul bertutup yang mungkin angin menyebabkan ia terbuka adalah tidak sesuai, sepatutnya letak kucing tersebut dalam carrier haiwan,” katanya.

Semalam, pengguna media sosial mengecam sekeping gambar tular memaparkan keadaan seekor kucing putih yang terikat pada belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dan rata-rata pengguna menggesa pemilik kenderaan itu tampil memberi keterangan berhubung kejadian sebenar berlaku di media sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan