Pengurus Syarikat Didenda RM10,000 Tipu JPV Bagi Bekalan Kambing

09/08/2024 06:06 PM

IPOH, 9 Ogos (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat pertanian, penternakan dan perikanan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menipu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak membabitkan perkhidmatan membekal kambing import.

Hakim Datuk Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Shaharani Firdauz Abd Ghani, 38, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. 

Mengikut pertuduhan pilihan, Shaharani Firdauz didakwa secara tidak jujur memperdaya Pengarah JPV Perak Ahmad Shafri Hassan, berhubung dokumen invois berjumlah RM836,789 yang dikeluarkan syarikatnya bertarikh 10 Dis 2021.

Dokumen itu dikemukakan bagi tuntutan perkhidmatan membekal dan menghantar ternakan kambing tenusu, kambing pedaging dan bebiri import untuk Projek Subsektor Ternakan Daerah Perak Tengah, Program Pembangunan Jajaran Sungai Perak Tahun 2020, JPV Perak.

Bagaimanapun, kambing yang dibekalkan adalah kambing tempatan dan tidak mendapat sijil pengesahan import. Oleh itu, tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa meluluskan bayaran bagi tuntutan tersebut, dan mangsa tidak akan meluluskan bayaran itu sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan