Hak Jagaan Sementara Adik Zayn Rayyan Diberikan Kepada Nenek Saudara

09/08/2024 06:02 PM

SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini membenarkan hak penjagaan sementara adik kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada nenek saudaranya, selama dua bulan bermula hari ini.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman memutuskan demikian semasa prosiding yang dihadiri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya yang mewakili keluarga Zayn Rayyan.

Nurul Ikrimah ketika ditemui berkata hak jagaan itu diberikan kepada ibu saudara Zaim Ikhwan Zahari, 29, yang merupakan bapa kepada Zayn Rayyan sehingga 4 Okt ini.

Beliau berkata mahkamah turut menetapkan supaya ibu bapa kanak-kanak itu dibenarkan untuk berjumpa anak mereka seminggu sekali, dengan pengawasan penjaga yang ditetapkan dan tidak melebihi lapan jam.

Katanya mahkamah turut membenarkan Zaim Ikhwan dan Ismanira Abdul Manaf, 29, selaku bapa dan ibu membuat panggilan video pada bila-bila masa dan perlu membawa kanak-kanak itu untuk menghadiri terapi khas sebulan sekali.

JKM sebelum ini memperoleh perintah jagaan sementara selama dua bulan terhadap kanak-kanak itu yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

JKM mengemukakan permohonan perintah jagaan terhadap adik kepada  Allahyarham Zayn Rayyan berikutan ibu dan bapa mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pada 13 Jun atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan