Dua Wanita Cedera Diserang Dalam Tandas Surau

10/08/2024 01:19 AM

PETALING JAYA, 9 Ogos (Bernama) -- Dua wanita cedera dipercayai diserang seorang lelaki menggunakan pisau di dalam tandas sebuah surau, berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya, di sini kira-kira 1.30 tengah hari tadi. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan suspek terlibat.

“Satu kenyataan media akan dikeluarkan susulan kejadian ini,” katanya. 

Difahamkan kedua-dua mangsa yang berumur 20-an dan 50-an telah dihantar ke Hospital Shah Alam.

Sementara itu, seorang daripada ahli jawatankuasa surau berkenaan yang enggan dikenali berkata hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di surau itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Shahrulnizam menerusi kenyataan malam ini memaklumkan polis sedang menyiasat motif sebenar serangan yang berlaku di surau berhampiran sebuah sekolah rendah agama itu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang berumur 26 dan 52 tahun tidak mengenali suspek. Polis sedang giat mengesan lelaki itu yang dipercayai merupakan warga tempatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 1.48 tengah hari daripada seorang wanita yang memaklumkan terdapat dua wanita cedera akibat diserang oleh seorang lelaki dengan menggunakan pisau.

Kedua-dua mangsa katanya telah menerima rawatan awal daripada pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-7966 2222,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan