Mekanik Jatuh Ski Jet Ditemukan Lemas

10/08/2024 02:36 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos (Bernama) -- Seorang mekanik yang dilaporkan hilang ketika menunggang ski jet di Sungai Terengganu berhampiran Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam ditemukan lemas hari ini.  

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata Abdullah A. Mubin, 44, ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 9.28 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi ski jet itu terbalik.

“Mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian berlaku. Pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.25 pagi semalam.

“Setibanya di lokasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memulakan operasi pencarian terlebih dahulu sebelum bantuan daripada Polis Marin digerakkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa cuba berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri sebelum tenggelam. 

Operasi pencarian yang melibatkan 87 pegawai dan anggota pelbagai agensi penyelamat termasuk orang awam selain dibantu dua anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia ditamatkan pada 10 pagi tadi.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. 

Semalam, dilaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh selepas ski jet yang ditunggangnya hilang kawalan ketika menguji jentera terbabit. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan