Polis Kenal Pasti Suspek Tikam Dua Wanita Di Tandas Surau

10/08/2024 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti dan kini giat mengesan keberadaan penyerang dua wanita dalam kejadian di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata pihaknya juga memperoleh satu rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berhampiran yang merakamkan kereta dinaiki suspek, dipercayai lelaki warga tempatan, meninggalkan kawasan surau selepas kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, pasukan polis kini sedang berusaha mengesan suspek. Bagaimanapun, motif serangan belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini katanya pihak polis sudah merakamkan percakapan tujuh orang saksi bagi membantu siasatan.

Sementara itu mengulas keadaan kedua-dua mangsa, Shahrulnizam berkata seorang daripada mereka iaitu guru besar sebuah sekolah agama di Kelana Jaya, telah dibenarkan keluar dari hospital dan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Bagaimanapun seorang lagi mangsa masih menerima rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari semalam, seorang lelaki bertindak menyerang seorang jurujual berusia 26 tahun dan guru besar berusia 52 tahun dengan pisau rambo dalam kawasan surau berkenaan.

Ekoran kejadian itu, jurujual terlibat mengalami kecederaan kepala dan perut manakala guru besar berkenaan mengalami luka pada lengan dan tangan kiri.

Berdasarkan siasatan awal sebelum ini, kedua-dua mangsa tidak mengenali suspek.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan