KPDN Tahan Empat Lelaki Termasuk Warga Asing, Seleweng Minyak Diesel

10/08/2024 06:30 PM

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel, selepas menahan empat lelaki termasuk dua lelaki warga asing dan merampas 72 liter bahan api bernilai RM84,150, Rabu lepas.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam rampasan dilakukan  sepasukan anggota penguat kuasa menerusi Op Tiris 3.0, di Kawasan Perindustrian Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis, pada kira-kira 10 pagi.

Hasil pemeriksaan awal mendapati premis itu menjalankan perniagaan menjual minyak diesel untuk kegunaan industri.

Namun, berdasarkan laporan naziran KPDN negeri, premis terbabit turut didapati menjual minyak diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

“Ketika serbuan, terdapat dua lori bernombor pendaftaran asing sedang mengisi minyak diesel dalam premis berkenaan,” katanya.

Menurut Azman, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti berkenaan serta rantaian pengedaran minyak diesel itu.

Premis itu turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dan menjual secara borong atau runcit apa-apa barang kawalan berjadual tanpa lesen serta Peraturan 9(2) di bawah peraturan yang sama, iaitu pemborong menjual barang kawalan kepada orang yang tidak berlesen.

Syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan