Penjenayah Cuba Rempuh Polis, Empat Das Tembakan Dilepaskan

10/08/2024 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah dua  kenderaan dinaiki empat penjenayah selepas mereka bertindak agresif melanggar kereta peronda polis di Jalan Pekan Batu 11 di Balakong dekat sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata dalam kejadian pada 6.05 pagi itu, penjenayah yang menaiki kereta Nissan Frontier dan BMW sengaja cuba melanggar kereta peronda polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang yang sedang melakukan operasi mencegah kegiatan mencuri kabel.

“Keadaan itu menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kedua-dua kenderaan yang dinaiki kumpulan penjenayah berkenaan dan menahan empat suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ni.

Bagaimanapun, kesemua anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kes jenayah dan dadah.

Naazron berkata polis turut menemukan pelbagai peralatan mencuri kabel dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379/511.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis yang berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nordi talian 012-2446768 bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan