Tembakan Di Pusat Hiburan: Empat Lelaki Ditahan

11/08/2024 10:27 AM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan dan merusuh sehingga melepaskan tembakan di sebuah pusat hiburan di Pudu di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 3.45 pagi itu yang didakwa melibatkan sekumpulan lelaki.

Beliau berkata siasatan awal di lokasi kejadian menemukan tiga butir kelongsong peluru dan dua peluru hidup.

“Akibat pergaduhan itu, empat lelaki warga tempatan berumur lingkungan 29 hingga 40 tahun cedera dipercayai disebabkan oleh senjata tajam dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.

"Kesemua mereka telah dibenarkan keluar dari hospital dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Rusdi berkata permohonan reman untuk empat lelaki terbabit akan dibuat hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan