SPRM Tahan Tiga Penguat Kuasa Disyaki Terima Rasuah Lindungi Penyeludupan Rokok

11/08/2024 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai penguat kuasa sebuah jabatan di Sabah kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.

Menurut sumber ketiga-tiga lelaki berusia 30 hingga 40-an itu ditahan kira-kira 4 petang hingga 11 malam tadi dalam operasi dijalankan SPRM Sabah di pekan Keningau.

“Tangkapan melibatkan dua daripada pegawai penguat kuasa tersebut adalah susulan daripada tangkapan (ke atas) seorang pegawai penguat kuasa berkaitan kes sama iaitu disyaki meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang penyeludupan yang telah ditahan oleh jabatan itu.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan perbuatan itu baru-baru ini (Ogos 2024),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumber memaklumkan kesemua suspek direman lima hari hingga 16 Ogos dan reman dibenarkan Majistret Aslianlydia Asneh selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan