Keluarga Mangsa Bot Terbalik Harap Bapa Selamat

11/08/2024 07:57 PM

CHUKAI, 11 Ogos (Bernama) -- Anak kepada seorang daripada mangsa yang hilang dalam kejadian bot nelayan dan tongkang berlanggar di perairan Kemaman pagi tadi, berharap agar bapanya dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

Mohd Azad Yusuf, 37, dari Raub, Pahang berkata dia tidak menyangka bapanya Yusuf Kassam, 66, yang pergi memancing bersama rakan kali ini, berakhir dengan tragedi.

Menurut Azad, bapanya yang juga pesara polis keluar dari rumah kira-kira 10 pagi semalam bersama dua lagi rakannya, Rosnawi Harun, 50, dan mat Ali Alahan, 66.

“Ayah memang biasa keluar memancing di merata-rata tempat. Banyak kali juga dia ke Terengganu untuk ke laut terutama ketika musim mencandat (mencandat sotong).

"Sebelum ke Terengganu pagi semalam, bapa sempat bersarapan bersama ibu di rumah. Ibu tak sihat...dia memang bergerak menggunakan kerusi roda sepanjang masa," katanya ketika ditemui Jeti Haji Pa Kuala Kemaman, di sini hari ini.

Mohd Azad berkata dia mendapat berita mengenai kehilangan bapanya daripada pemilik rumah inap di Kemaman kira-kira 11 pagi tadi.

Katanya, kali terakhir ibu berhubung dengan bapanya pada kira-kira 2.30 petang semalam sebelum turun ke laut pada 4 petang.

"Ibu tidak ikut ke Kemaman kerana tidak sihat. Saya sendiri tidak tahu berapa lama kami akan berada di sini (Kemaman). Lagipun dia ada darah tinggi. Saya tak mahu dia lebih tertekan kalau berada di sini," katanya.

Sementara itu, rakan Yusuf yang terselamat Rosnawi berkata ketika kejadian, dia sedang tidur sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat secara tiba-tiba, sebelum bot yang dinaiki terbalik menyebabkan mereka jatuh ke dalam air.

"Saya dan pemancing lain yang terselamat bertahan dengan memegang dua tong ikan yang terapung. Selain itu saya turut memegang anak saudara, Siti Zamimah Mohman Zobini.

"Pada mulanya saya tarik Siti Zamimah dan pegang erat sebab nampak dia tak boleh berenang. Tetapi lama kelamaan dia semakin tidak bermaya dan diam sehingga akhirnya meninggal dunia," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan