Polis Sahkan Mayat Ditemukan Disember Lepas Adalah Cikgu Istiqomah

12/08/2024 02:31 PM

MELAKA, 12 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan di tepi jalan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Dis lepas, adalah mayat Istiqomah Ahmad Rozi, 33, seorang guru yang dilaporkan hilang pada 27 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata identiti wanita yang dikenali sebagai Cikgu Istiqomah itu disahkan menerusi hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan pada 2 Ogos lepas.

Beliau berkata hasil risikan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Senayah (JSJ) Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, polis telah menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, bagi membantu siasatan.

"Siasatan ke atas kedua-dua individu itu membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat itu ditemukan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ashari berkata pasangan itu direman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lepas, dan beliau menjangka permohonan sambung reman akan dibuat hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu untuk menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah dengan menelefon 06-5562222 atau menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Norehan Omar di talian 010-4064003 bagi membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan mayat seorang wanita ditemukan di dalam tong sampah di longkang tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang, tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, kira-kira pukul 2 petang, hujung tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan