Mahkamah Sekali Lagi Tolak Permohonan Mohd Azizi Untuk Hentikan PRK Dun Nenggiri

12/08/2024 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim hari ini gagal buat kali kedua untuk menghentikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri Sabtu ini.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain mengetepikan permohonan Mohd Azizi bagi mendapatkan injunksi sementara bagi menghentikan PRK itu, sementara menunggu keputusan berkaitan saman pemula yang difailkannya terhadap Presiden parti Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiausaha agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan SPR, sebagai defendan pertama hingga keempat.

“Permohonan itu menimbulkan isu perlembagaan cukup kompleks, yang lebih sesuai ditangani dalam saman utama. Keseimbangan kemudahan jelas memainkan peranan untuk membenarkan proses demokrasi berjalan tanpa halangan. Selepas menimbangkan semua faktor ini, mahkamah terpaksa menolak permohonan untuk injunksi sementara ini,” katanya.

Pada 27 Jun lepas mahkamah yang sama mengetepikan permohonan injunksi sementara Mohd Azizi bagi menghalang PRK berkenaan selepas mendapati dia tidak mengalami sebarang kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki memandangkan dia masih boleh menyertai PRK itu.

Dalam saman pemulanya Mohd Azizi memohon satu deklarasi bahawa PRK DUN Nenggiri di Kelantan tidak boleh diadakan oleh SPR (defendan keempat) memandangkan kerusi itu masih menjadi milik plaintif.

Roz Mawar berkata mahkamah mendapati bahawa pemberian injunksi interim adalah bersamaan dengan campur tangan kepada fungsi perlembagaan. 

“Mahkamah ini akan mengelak daripada menyentuh proses pengundian untuk pilihan raya kecil yang diperkatakan. Apabila menyentuh kepada kepentingan awam, spektrumnya lebih luas daripada hanya plaintif semata-mata,” katanya.

Beliau seterusnya berkata Mohd Azizi boleh menawarkan diri sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, tetapi beliau enggan berbuat demikian dan ini bermakna beliau tidak lagi berminat untuk bertanding di kerusi Nenggiri.

Roz Mawar juga menegaskan bahawa pelaksanaan proses pilihan raya untuk wakil rakyat dalam sebuah negara demokrasi ini terus diutamakan dan SPR melaksanakan tugasnya tanpa campur tangan kehakiman.

"Sekiranya proses (mengundi) ini dihentikan, dengan kempen telah pun bermula, ia boleh membawa kepada komplikasi logistik dan perbelanjaan awam yang tidak perlu," katanya.

Roz Mawar kemudian mengarahkan Mohd Azizi membayar kos berjumlah RM30,000 kos kepada SPR, Yang Dipertua DUN Kelantan dan Bersatu. Mahkamah menetapkan 18 Dis untuk mendengar saman pemula Mohd Azizi,” katanya.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Mohd Azizi, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili SPR, manakala peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili Yang Dipertuan DUN Kelantan, dan peguam Chetan Jethwani mewakili Bersatu.

Dalam saman pemula, Mohd Azizi juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pemecatannya daripada parti politik dalam notis bertarikh 12 Jun adalah tidak sah, bahawa notis itu sendiri tidak sah, dan bahawa pemecatannya dilakukan dengan mala fide (niat jahat).

Mohd Azizi berkata pindaan yang dibuat kepada Perkara 10 perlembagaan Bersatu, yang mengatakan keahlian ahli akan ditamatkan apabila ahli itu menyokong saingan politik, adalah  bercanggah dengan perlembagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan