Polis Bongkar Stor Dadah Berselindung Di Sebalik Kedai Ubat Tradisional

12/08/2024 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing selepas menyerbu sebuah kedai menjual ubat tradisional dan menemukan 209.65 kilogram (kg) dadah di Taman Desa Petaling di sini dua hari lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dalam serbuan kedai itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun yang disyaki berperanan sebagai penghantar dadah, selepas menemukan dadah jenis pil erimin 5 bernilai kira-kira RM21.8 juta itu di dalam sebuah bilik di tingkat pertama kedai berkenaan.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 64 tahun yang dipercayai ketua sindiket itu di dalam sebuah kereta Mercedes Benz di hadapan sebuah restoran di Taman Desa Petaling, dekat sini dan menemukan 5.55 kg dadah jenis pil ekstasi.

“Modus operandi sindiket yang aktif sejak awal tahun ini ialah menjadikan premis kedai berkenaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran dalam negara terutama di kawasan Lembah Klang.

“Sindiket ini dipercayai mendapat bekalan dadah dari negara jiran dan dijual pada harga RM25 hingga RM50 sebiji,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Khaw berkata semakan mendapati ketua sindiket itu pernah ditahan tahun lepas membabitkan kes dadah, namun dilepaskan kerana kekurangan bukti, dan kedua-dua suspek kini direman hingga 16 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan nilai keseluruhan rampasan dadah serta pelbagai aset yang terbabit dalam kes itu dianggarkan bernilai RM21.9 juta.

Khaw berkata siasatan mendapati kedai itu disewa dengan kadar RM3,500 sebulan dan syarikat perniagaan itu dipercayai dimiliki oleh anak ketua sindiket.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan