Polis Buru Empat Lagi Individu Terlibat Kes Culik Warga China

12/08/2024 05:28 PM

SEPANG, 12 Ogos (Bernama) -- Polis memburu empat lagi individu disyaki terlibat dalam kes culik seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Maju, Cyberjaya pada 11 Julai lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata empat suspek yang diburu itu merupakan warga tempatan iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan dan mereka adalah sebahagian daripada 18 orang yang terlibat dalam kes terbabit.

"Daripada 18 orang itu, empat ditembak mati, 10 telah ditangkap dan direman hingga 14 Ogos ini, manakala empat lagi masih diburu … kesemuanya ada rekod jenayah lampau. Gambar dan butir terperinci kita akan edar kepada media dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata pihaknya percaya 18 orang yang terlibat dalam kes itu masing-masing memainkan peranan termasuk merancang, menculik, mengeluarkan wang tebusan dan menjaga kedua-dua mangsa sehingga dibebaskan.

"Antara yang terlibat ialah pemandu kepada mangsa yang merupakan antara perancang kepada kes culik ini dan motif penculikan adalah bagi mendapatkan wang," katanya dan menambah kesemua individu terbabit dipercayai telah membahagikan sama rata wang tebusan dalam bentuk mata wang kripto berjumlah US$1.2 juta (RM5.3 juta).

Mengulas lanjut, Hussein berkata pihaknya berjaya menemukan wang tunai berjumlah RM1.65 juta serta merampas pelbagai barangan termasuk kenderaan bernilai RM3.1 juta.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas ialah enam utas jam tangan mewah pelbagai jenama, satu utas rantai berserta loket emas, dua kereta Toyota Alphard dan sebuah kereta pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

Pada 2 Ogos lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata polis telah menembak mati empat individu dalam insiden berbalas tembakan semasa operasi di Skudai, Johor, serta menahan empat individu termasuk seorang wanita berumur antara 25 hingga 43 tahun di sekitar daerah di Johor pada hari yang sama.

Mohd Shuhaily berkata kedua-dua mangsa dibebaskan pada petang 15 Julai di tepi Jalan Pedas–Linggi, Negeri Sembilan selepas adik warga China itu membayar tebusan dalam bentuk mata wang kripto kepada kumpulan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan