Dua remaja diarah bela diri atas pertuduhan asal membunuh Mohammad Amin

12/08/2024 06:56 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan dua remaja untuk membela diri atas pertuduhan asal membunuh Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, di sebuah pusat tahfiz hampir lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu, selepas membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan untuk menukar keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini meminda pertuduhan asal membunuh itu kepada menyebabkan kematian.

Pada 6 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi meminda pertuduhan asal membunuh kepada menyebabkan kematian dan memerintahkan kedua-dua remaja itu membela diri.

Dalam prosiding hari ini, Ahmad Zaidi berkata berdasarkan keterangan dikemukakan khususnya keterangan saksi dan pakar patologi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap remaja tersebut.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan unsur niat untuk membunuh.

Beliau kemudian memerintahkan kedua-dua remaja itu membela diri di hadapan pesuruhjaya kehakiman yang sama, Roslan Mat Nor di Mahkamah Tinggi Temerloh di Pahang.

Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin, menetapkan tarikh 19 Ogos untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua remaja yang berusia 13 tahun ketika itu, didakwa membunuh Mohammad Aimin di asrama Maahad Tahfiz Nahdah Syubban Addiniyah di Kampung Kuala Kaung di Lanchang, Temerloh, Pahang antara 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari pada 7 Nov 2019.

Pada 6 Mac tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Roslan memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur niat untuk membunuh dan dengan itu meminda pertuduhan kepada menyebabkan kematian.

Roslan kemudiannya mengarahkan mereka untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.

Selepas keputusan itu, remaja terbabit memutuskan untuk mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian.

Mahkamah Tinggi mengarahkan penahanan kedua-dua remaja itu di Sekolah Henry Gurney untuk tempoh tiga tahun bermula 6 Mac 2023, sebelum pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Penemuan fakta pesuruhjaya kehakiman menunjukkan bahawa remaja itu menyerang mangsa di asrama. Mereka menumbuk perut mangsa, menghentak perutnya sehingga najis dan air kencingnya terkeluar, dan mencampakkan mangsa ke lantai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman manakala remaja itu diwakili Amer Hamzah Arshad, Joshua Tay H’ng Foong dan Lee Yee Woei.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan