Syarikat Kurier Tidak Buat Panggilan Kepada Pelanggan Minta Pindahan Wang - Polis

12/08/2024 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Syarikat kurier tidak akan membuat panggilan kepada pelanggan bagi meminta pindahan wang dilakukan untuk mendapatkan barangan mereka yang sedang dalam pemeriksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sekiranya syarikat kurier mendapati bungkusan pelanggan mengandungi barang terlarang, syarikat itu perlu membuat laporan polis.

“Kalau ada pun barang terlarang dalam bungkusan, syarikat kurier yang perlu membuat laporan, bukannya telefon pelanggan dan beri amaran dan kemudian ada pula pegawai polis yang beri nasihat supaya bayar, ia tidak begitu.

“Kalau betul kita bawa barang terlarang, kita ialah suspek dan suspek tidak akan diberitahu seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Kesedaran Penipuan Parcel di sini hari ini.

Beliau berkata RM505,440,000 kerugian membabitkan 9,422 kes penipuan telekomunikasi atau ‘phone scam’ dicatatkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga Julai 2024.

Ramli berkata daripada jumlah itu, lebih RM30 juta kerugian membabitkan 535 kes penyamaran sebagai pegawai Pos Laju dicatatkan bermula 2022 hingga Julai 2024.

“Angka itu adalah mesej jelas bahawa penipuan ini perlu diberikan perhatian serius dan orang ramai harus memanfaatkan teknologi bagi melindungi diri dalam persekitaran siber yang sentiasa berevolusi,” katanya.

Terdahulu, Ramli menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia dan Whoscall, aplikasi antipenipuan oleh syarikat Gogolook sebagai sebahagian inisiatif #ScamFreeMalaysia.

Menerusi kerjasama itu, Pos Malaysia berkongsi nombor operasi dengan Whoscall termasuk nombor posmen yang akan ditandakan sebagai nombor yang disahkan.

Ia akan menyaksikan pengguna Whoscall lebih yakin untuk menerima panggilan dan khidmat pesanan  ringkas (SMS) Pos Malaysia sekali gus melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman penipuan yang semakin meningkat.

Bagi menyokong inisiatif kempen memerangi penipuan telekomunikasi, Whoscall mengumumkan percubaan percuma bagi tempoh 60 hari untuk orang ramai dengan melayari https://bit.ly/POSAntiScam dan menggunakan kod promosi PosAntiScam.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan