Remaja Menyamar Petugas Hospital Pernah Terima Rawatan Psikiatri

12/08/2024 08:07 PM

SEPANG, 12 Ogos (Bernama) -- Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menceroboh dan menyamar sebagai petugas di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang, mempunyai sejarah menerima rawatan psikiatri pada Mac lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun berkata ahli keluarga remaja itu memaklumkan dia tidak pergi mendapatkan rawatan susulan serta telah meninggalkan persekolahan.

"Pada masa sekarang, kita rujuk remaja itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk sesi kaunseling sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk sebarang pertuduhan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, remaja terbabit telah keluar dan masuk kawasan hospital itu dalam tempoh seminggu sebelum ditahan polis pada 8 Ogos lepas.

Ditanya bagaimana remaja itu memasuki hospital, Hussein memberitahu remaja itu menggunakan kad pengenalan ibunya serta mendakwa kehilangan pas kerja.

Beliau berkata tindakan remaja itu dipercayai disebabkan fikirannya yang terganggu dan tekanan emosi.

Dalam pada itu, Hussein berkata polis sedang dalam perbincangan dengan pihak hospital untuk memperketatkan aspek keselamatan hospital terutama kawasan sensitif.

Pada Khamis lepas, remaja itu ditahan di lobi HSIS kerana disyaki menyamar sebagai pegawai perubatan dan menawarkan diri untuk membantu menjalankan satu pembedahan.

Polis turut merampas baju dan seluar scrub serta lanyard hak milik hospital berkenaan.

Remaja berkenaan yang direman dua hari sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan