Peniaga Rugi Lebih RM140,000 Ditipu Beli Kereta Di Facebook

13/08/2024 12:42 PM

IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan mengalami kerugian RM147,600 selepas diperdaya dalam urusan pembelian kereta yang ditawarkan menerusi Facebook, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata siasatan awal mendapati pada 15 April lepas, peniaga berusia 53 tahun itu telah melihat iklan penjualan kereta jenis Mercedes-Benz pada laman sosial tersebut dan menekan pautan WhatsApp tertera.

Beliau berkata mangsa berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai jurujual di sebuah syarikat jualan kereta di Selangor, kemudiannya ditawarkan harga jualan sebanyak RM113,000 dengan ansuran bulanan RM1,328.80, selain diyakinkan telah memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah iPad.

Azizi berkata selepas tertarik dengan tawaran yang diberikan, mangsa membuat pembayaran wang pendaftaran sebanyak RM2,680 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek dan dijanjikan penghantaran kereta pada 19 April.

"Bermula 17 April hingga 25 Julai mangsa telah membuat 32 transaksi bayaran ke dalam sembilan akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM144,920 bagi pelbagai tujuan bayaran iaitu insurans, cukai jalan, AP permit, duti import, pengaktifan akaun, surat perjanjian jual beli dan duti setem," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata suspek bagaimanapun masih meminta mangsa membuat bayaran seterusnya berjumlah RM20,000 bagi bayaran perjanjian jual beli yang tamat tempoh dan duti setem. 

Beliau berkata mangsa yang mulai curiga dan merasakan proses pembelian terlalu rumit, membuat laporan polis pada 6 Ogos untuk siasatan lanjut dengan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Azizi menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian dan jangan mudah percaya dengan iklan jualan yang menawarkan harga murah atau istimewa yang tidak dapat dipastikan kesahihan.

Selain itu, katanya orang ramai juga boleh hadir secara fizikal ke syarikat jualan kenderaan untuk melihat sendiri kenderaan yang dijual serta berbincang dengan ejen jualan yang sah.

"Pembeli juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu di portal Semakmule untuk mengenal pasti akaun yang terbabit dengan penipuan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan