Laporan DNA Pasangan Warga Emas Rentung Diperoleh Minggu Ini

13/08/2024 05:52 PM

MUAR, 13 Ogos (Bernama) -- Laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pasangan suami isteri warga emas yang maut dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh dijangka diperoleh minggu ini. 

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia itu bertujuan menentukan jantina mangsa yang rentung 80 peratus.  

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terkini berhubung kejadian itu menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

"Pihak polis dan pasukan perubatan masih menunggu laporan ujian DNA daripada Jabatan Kimia dan keputusan itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehingga kini, jenazah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini. 

Kejadian kira-kira 1.30 pagi pada Jumaat lepas itu turut mengorbankan cucu perempuan mereka Noradriana Nor Hasyim, 11, manakala seorang lagi mangsa Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di HPSF.

Sabtu lepas, Raiz Mukhliz dilapor berkata polis mengklasifikasikan semula kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan terdapat kesan jenayah terhadap kematian ketiga-tiga mangsa.

Kes turut diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Polis sedang memburu anak kepada pasangan warga emas berkenaan Azman Mohamed Nor, 48, yang dipercayai suspek utama kes itu. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan