Polis Kenal Pasti Identiti Lelaki Sengaja Jatuhkan Basikal Di Depan Kenderaan Lain

13/08/2024 07:01 PM

ALOR SETAR, 13 Ogos (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti identiti seorang lelaki disyaki sengaja menjatuhkan basikal dinaikinya di hadapan kenderaan lain sehingga hampir menyebabkan kemalangan di Taman Rakyat di sini pada Jumaat lepas yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya mengesan dua video berdurasi sembilan saat dan 14 saat yang tular di Facebook pada 4 pagi tadi berkaitan tindakan lelaki terbabit yang dilihat sengaja menjatuhkan basikalnya di jalan raya.

Beliau berkata pelaku di dalam video itu dikenal pasti sebagai seorang warga tempatan berusia 24 tahun.

“Hasil semakan mendapati lelaki itu ialah seorang autisme dan warisnya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Siti Nor Salawati berkata sehingga kini, polis belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pelaku dan pengguna jalan raya.

Polis turut menyeru saksi kejadian itu untuk tampil ke IPD Kota Setar atau menghubungi talian 04-747222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan