Polis Tahan Lelaki Mengamuk, Bawa Pisau Pemotong Daging

14/08/2024 12:01 AM

IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Polis hari ini menahan seorang lelaki yang mengamuk dan membawa sebilah pisau pemotong daging di Dataran Keretapi Tanah Melayu Berhad di Jalan Dato Panglima Bukit Gantang di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya dimaklumkan oleh orang awam bahawa suspek, yang disyaki kurang siuman, telah membawa sebilah pisau ke lokasi kejadian pada 1.56 tengah hari.

Beliau berkata pada kira-kira 2 petang, polis berjaya menahan suspek yang sedang mengamuk dan merampas pisau itu.

"Suspek seorang warga tempatan berusia 31 tahun yang merupakan penganggur. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod bagi kesalahan jenayah dan sembilan bagi dadah," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Abang Zainal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Beliau berkata semakan dengan pihak Hospital Bahagia Hulu Kinta mendapati suspek memiliki rekod sebagai pesakit mental justeru itu, dia dibawa ke sana untuk mendapatkan rawatan. 

"Pihak polis ingin menasihati orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Abang Zainal juga berkata suspek bertindak agresif dengan melibaskan pisau yang dibawanya beberapa kali ke arah polis ketika dihampiri dan diminta melepaskan senjata itu selain berlaku pergelutan semasa tangkapan dibuat.

Beliau berkata dalam insiden itu, seorang anggota polis cedera di bahagian siku kiri selepas proses tangkapan manakala tiada orang awam yang mengalami sebarang kecederaan, begitu juga dengan suspek.

"Semasa ditahan, suspek gagal mengemukakan kad pengenalan dan hanya memberikan butir-butir diri melalui akuan lisan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan