Dua Maut, Empat Cedera Selepas Kereta Dirempuh Jengkaut

14/08/2024 12:29 PM

SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Dua maut manakala empat lagi cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah jengkaut yang sedang membantu kerja-kerja pemasangan kabel di persimpangan lampu isyarat Kampung Gelam, Port Dickson, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata yang maut dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu ialah pemandu lelaki berumur 24 tahun dan penumpang wanita yang merupakan pelajar kolej berusia 18 tahun.

Beliau berkata empat lagi penumpang yang berumur dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu jengkaut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Aidi Sham berkata berdasarkan siasatan awal kejadian berlaku semasa kereta yang dari arah Port Dickson menghala ke Seremban itu cuba mengelak ‘kon’ di jalan berkenaan semasa tiba di lokasi, yang menyebabkan ia terbabas dan merempuh sebuah jengkaut yang sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel bawah tanah. 

"Akibat perlanggaran pemandu serta seorang penumpang kereta itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu boleh berhubung dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson di talian 06-6472222.

-- BERNAMA

 

TAG: polis, maut, Port Dickson, kemalangan, Aidi Sham

 


SBMK SFH AZH


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan