Kastam rampas 196 kg sarang burung bernilai RM1.57 juta di KLIA

14/08/2024 06:22 PM

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sembilan guni sarang burung seberat 196 kilogram (kg) bernilai RM1.57 juta di gudang di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) pada 31 Julai lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata dagangan sarang burung itu dipercayai diimport masuk ke Malaysia dari negara jiran tanpa memiliki permit import yang sah.

“Sindiket ini menggunakan alasan pemindahan ke negara luar ke atas sarang burung itu selepas dagangan terbabit ditahan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah mengimport sarang burung dari negara jiran tanpa permit import sah dengan cara mengisytiharkan nama syarikat ejen perkapalan sebagai konsaini dalam dokumen penerbangan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957 iaitu mengimport barang larangan tanpa permit yang sah.

Sementara itu, JKDM merampas 15.30 kg dadah disyaki ganja bernilai RM55,530 di Balai Ketibaan, KLIA Terminal 1  dan menahan seorang penumpang warga tempatan yang baru tiba dari Bangkok, Thailand, kira-kira 2.15 pagi pada 4 Ogos lepas.

Norlela berkata hasil pengimbasan ke atas bagasi dibawa penumpang itu mendapati terdapat barang larangan yang dimuatkan dalam bagasi.

“Semasa pemeriksaan rapi dijalankan, penumpang itu memaklumkan kepada pegawai bertugas dia membawa sarang burung, namun kami menemukan 27 bungkusan lutsinar mengandungi gumpalan bahan tumbuhan dalam bagasi,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, Norlela berkata JKDM merampas empat palet dagangan mengandungi 322,000 batang rokok putih dan pakaian di gudang di FCZ pada 9 Julai lepas.

“Hasil pemeriksaan mendapati rokok putih itu masuk ke kawasan Zon Bebas KLIA tanpa permit sah dan telah menggunakan cara perkhidmatan penghantaran melalui kargo yang diikrar sebagai pakaian,” katanya.

Beliau berkata nilai barang yang dirampas dianggarkan berjumlah RM32,000 dan membabitkan duti serta cukai sebanyak RM215,740.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan