Pemandu Treler Maut Kemalangan Babit Lima Kenderaan

15/08/2024 11:24 AM

IPOH, 15 Ogos (Bernama) -- Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 301.1 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke arah utara, Gopeng, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.37 pagi sebelum 10 anggota bomba dan lima jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan itu melibatkan lima buah kenderaan iaitu tiga buah treler, sebuah lori satu tan membawa muatan telur dan sebuah kenderaan MPV jenis Toyota Vellfire yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas kira-kira tujuh kilometer," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki berumur 30-an tersepit pada bahagian pemandu sebuah treler yang sebelum itu telah melanggar bahagian belakang sebuah treler lain.

Katanya Ketua Operasi melaksanakan pemeriksaan (size-up) seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa yang tersepit itu berjaya dikeluarkan dan disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), manakala mangsa yang cedera (pemandu lain) telah diserahkan kepada pihak KKM bagi tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan