Polis Sahkan Pemain Bola Sepak Bawa Kerambit Sebagai Suspek Kes Baling Bom Petrol

15/08/2024 12:42 PM

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti seorang pemain bola sepak amatur yang ditahan pada 8 Ogos lepas kerana membawa kerambit ke padang bola, sebagai suspek kes baling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu negara Mei lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata berdasarkan siasatan polis yakin lelaki berusia 22 tahun itu adalah orang dikehendaki berhubung kes berkenaan. 

Beliau berkata pemain bola sepak itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok, di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 336 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana membawa kerambit dan membaling bom petrol. 

“Polis kenal pasti pemain bola sepak itu sebagai suspek kes molotov cocktail berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengecaman,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di sini, hari ini.

Lelaki itu dikesan membawa kerambit ke padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA pada 4 Ogos lepas, selepas gambar kejadian itu kemudiannya menjadi tular di media sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan