Pesara Kerajaan Kerugian RM276,900 Diperdaya Scammer

15/08/2024 02:42 PM

KUANTAN, 15 Ogos (Bernama) -- Pesara kerajaan kerugian RM276,900 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pegawai polis. 

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata wanita berusia 64 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai MCMC pada 16 Julai lepas dan mendakwa mangsa terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

“Panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis. Dalam tempoh 16 hingga 29 Julai, mangsa telah diarahkan suspek untuk membuat transaksi melalui mesin ATM ke dalam enam akaun bank berlainan.

“Sumber wang kerugian ini adalah duit simpanan mangsa, suami mangsa (iaitu dari) ASB (Amanah Saham Bumiputera) dan Tabung Haji. Selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan di balai polis daerah Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau menasihat orang ramai supaya tidak mudah panik dan tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan daripada panggilan telefon individu tidak dikenali serta membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan