Remaja Suspek Kes Bunuh Kanak-kanak Orang Asli Direman Seminggu

19/08/2024 10:12 AM

IPOH, 19 Ogos (Bernama) -- Seorang remaja lelaki yang ditahan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dipercayai dirogol dan dibunuh di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu direman selama tujuh hari bermula hari ini. 

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Asyifa Redzuan selepas permohonan pihak polis dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini. 

Mahkamah membenarkan reman hingga 25 Ogos bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nuraina Humaira Rosli dilaporkan hilang pada 16 Ogos lepas sebelum ditemukan meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli berkenaan petang semalam dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Namun, selepas keputusan awal bedah siasat diperoleh semalam yang mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan di bahagian leher, polis mengklasifikasikan semula kepada kes bunuh.

Susulan itu, polis menahan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun yang juga merupakan saudara terdekat mangsa bagi membantu siasatan pada 5 petang semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan