Rakaman Percakapan Muhyiddin Ditangguhkan Ke Hari Esok

20/08/2024 11:28 AM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Rakaman percakapan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ditangguhkan ke hari esok, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata ini kerana peguam Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu masih berada di luar negara.

“Keterangan Muhyiddin akan diambil di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada pukul 11 pagi esok,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Sebelum ini, media melaporkan rakaman percakapan Muhyiddin dijadualkan diambil hari ini di MIDA pada pukul 11 pagi menyebabkan seramai 15 pengamal media berada di lobi MIDA bagi membuat liputan.

Muhyiddin didakwa membuat ucapan menyentuh isu 3R semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan, baru-baru ini menyebabkan ramai pihak membuat laporan polis.

Muhyiddin juga dikatakan mengeluarkan ucapan yang mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tindakan itu membangkitkan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan