Penganggur Didakwa Bunuh Ibu, Bapa Dan Anak Saudara

20/08/2024 01:46 PM

MUAR, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh ibu, bapa dan anak saudara perempuannya di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh pada 9 Ogos lepas.

Azman Mohamed Nor, 48, mengangguk faham selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Lelaki itu didakwa membunuh Ara Ab Hamit, 76, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Noradriana Nor Hasyim, 11, antara 1 pagi dan 3 pagi pada 9 Ogos.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan forensik, bedah siasat dan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini pula, Azman mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lagi anak saudara perempuannya, Norazmina Mohd Razi, 14, dengan menggunakan sebatang kayu sebagai senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di lokasi, masa dan hari yang sama dengan tiga pertuduhan membunuh itu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Hakim Nariman Badruddin menetapkan 12 Sept depan untuk jatuh hukum sementara menunggu pihak pendakwaan melengkapkan fakta kes, bagaimanapun Azman tidak dibenarkan sebarang jaminan kerana terbabit dengan tiga pertuduhan membunuh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Marzuki dan Danial Munir, manakala Azman tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan suami isteri warga emas, Mohamed Nor dan Ara bersama cucu perempuan, Noradriana maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, pada kira-kira 1.30 pagi, manakala seorang lagi mangsa Norazmina yang mengalami kecederaan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz dilapor berkata polis sedang mengesan saksi utama dikenali sebagai Azman yang juga anak kepada warga emas itu dan dikatakan tinggal bersama mangsa, yang dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan