Polis Teliti Semula Kertas Siasatan Teoh Beng Hock - Shuhaily

21/08/2024 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengkaji semula kertas siasatan berhubung kes kematian Teoh Beng Hock, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. 

Beliau berkata bagi tujuan itu pihaknya sedang mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara berhubung tindakan selanjutnya.

"Polis telah menerima kertas siasatan kes ini daripada Pejabat Peguam Negara dan kami sedang mengkaji dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes ini kerana seperti semua sedia maklum kes berkenaan telah disiasat dari segi konteks jenayah dan Laporan Pasukan Siasatan Khas," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kursus Sains Tingkahlaku di Maktab PDRM Cheras di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan kes itu dan memberi jaminan siasatan akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Mendiang Teoh yang juga pegawai khas kepada Exco kerajaan negeri Selangor ketika itu Ean Yong Hian Wah, ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Sementara itu mengulas mengenai penjenayah warga asing yang maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, dekat sini semalam Mohd Shuhaily berkata siasatan mendapati suspek yang ditembak mati itu telah memasuki negara ini pada 2017 dan pihak polis sedang menyiasat latar belakangnya.

Semalam polis mengesahkan lelaki yang ditembak mati itu merupakan ahli kumpulan samun bersenjata api dari sebuah negara di Benua Afrika yang aktif sejak 2018 dan terbabit dalam 45 kes melibatkan kerugian kira-kira RM8 juta.

Sementara itu Mohd Shuhaily berkata siasatan polis berhubung kes kematian penyanyi Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ditemukan di Sungai Klang minggu lepas masih konsisten, sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih meneruskan siasatan dengan melawat dan mengkaji kawasan kejadian bagi meneliti sekiranya terdapat unsur jenayah yang dapat dirakam oleh mana-mana kamera litar tertutup, kamera papan pemuka atau saksi.

Mayat penyanyi dan pempengaruh itu ditemukan di Sungai Klang pada 14 Ogos selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan