Warga Emas Rugi RM178,700 Akibat Terpedaya "Phone Scam"

22/08/2024 08:45 PM

SEREMBAN, 22 Ogos (Bernama) -- Seorang warga emas kerugian RM178,700 selepas terperdaya dengan panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku daripada Bahagian Pencegahan Pengubalan Wang Haram (AMLA) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru, di Nilai semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 60 tahun itu pada 11.57 malam, Rabu lepas.

Beliau berkata kejadian berlaku pada 25 Julai apabila mangsa dihubungi oleh suspek yang mengaku dari cawangan AMLA, memaklumkan bahawa akaun bank warga emas itu terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram. 

"Mangsa kemudiannya telah diarahkan untuk membuat pindahan ke dalam lima akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM178,700.

"Pengadu menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya sebelum bertindak membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Malik berkata polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata orang awam dinasihatkan agar membuat semakan melalui portal Semakmule (https://semakmule.rmp.gov.my) sebelum membuat sebarang pemindahan wang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan