Mahkamah Putuskan Rayuan Akhir Peter Anthony 27 Nov Ini

26/08/2024 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan diputuskan pada 27 Nov ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Bernama hari ini manakala peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan, yang mewakili Peter, 53, mengesahkan tarikh tersebut.

Kedua-dua pihak selesai berhujah pada 1 Ogos lepas di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Ini adalah rayuan terakhir Peter selepas Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas menolak permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhi Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, dituduh memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan