Na'imah Mohon Batal Cukai Pendapatan Lebih RM300 Juta Libatkan Aset Luar Negara

26/08/2024 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan cukai pendapatan berjumlah RM313.82 juta dikenakan terhadapnya oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri pada 2018.

Permohonan itu difailkan Na'imah, 67, menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership pada 19 Ogos lepas di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri sebagai responden.

Beliau memfailkan permohonan itu atas alasan cukai Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2018 berjumlah RM313,820,336.13 yang dikenakan terhadapnya adalah ultra vires dan menyalahi undang-undang kerana jumlah yang dituntut itu adalah daripada tiga unit aset di luar negara yang bukan di bawah bidang kuasa responden kerana undang-undang cukai pendapatan di Malaysia berfungsi berasaskan dasar wilayah.

"Responden menyatakan bahawa tanpa mengira di mana pendapatan itu timbul, selagi saya merupakan warganegara Malaysia dan pemastautin cukai di sini, saya tertakluk kepada audit cukai yang berkait dengan semua sumber pendapatan dan aset-aset saya menurut Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

"Responden telah mengambil nilai pasaran keseluruhan bagi tiga unit aset yang didakwa iaitu RM700,572,811.00, sebagai pendapatan saya yang tidak dilaporkan pada tahun 2018 dan saya juga diminta oleh responden untuk membuktikan sumber pendapatan saya dalam memperoleh aset-aset tersebut," katanya dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu.

Na'imah berkata peguam beliau telah memberi maklum balas kepada responden dan menegaskan bahawa responden tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat aset yang terletak di bidang kuasa asing terutama apabila tiada pendapatan yang diperoleh daripadanya terakru di Malaysia.

Beliau berkata responden mendakwa mereka diberi kuasa di bawah Seksyen 78, 79, 80 dan 81 ACP untuk mendapatkan semua maklumat yang diperlukan dan seterusnya mendakwa jumlah RM700,572,811.00 akan diselaras ke dalam pengiraan cukai bagi Tahun Taksiran 2018 sebagai pendapatan yang tidak dilapor kepada responden.

Na'imah juga berkata responden memaklumkan Seksyen 80 dan 81 ACP telah memberi kuasa kepada responden untuk memohon dokumen terbabit dan ia perlu disemak untuk mendapatkan bukti sumber kewangan beliau dalam memperoleh ketiga-tiga aset sedangkan ia dibeli oleh suaminya pada 1990-an dan Na'imah tidak memiliki akses kepada dokumen berkaitan kerana aset asing itu diperoleh lebih 30 tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata pada 13 Ogos 2024, responden mengemukakan Notis Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2018 berjumlah RM313,820,336.13 terhadapnya.

Na’imah juga berkata pada 18 Jan lepas, responden telah menyoal beliau mengenai peningkatan sahamnya dalam Ilham Baru Sdn Bhd dan mendakwa tiga unit aset yang telah beliau guna untuk melangsaikan pinjaman antara Ilham Baru, Ilham Tower Sdn Bhd dan Welberton Private Equity Corp telah diperoleh menggunakan pendapatan yang tidak dilaporkan.

Justeru itu, Na'imah memohon deklarasi bahawa ACP beroperasi berasaskan dasar wilayah dan ia tidak boleh diperluas hingga memaksa pembayar cukai memberikan maklumat mengenai aset di luar negara jika tiada pendapatan daripada aset tersebut diterima di Malaysia. 

Pengurusan kes itu ditetapkan pada 3 Sept ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan