Tanah Jerlus: Mesin Jetter Berkuasa Tinggi Diguna Untuk Pecahkan Sisa Batuan

26/08/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Mesin jetter atau jet pembetung berkuasa tinggi kini digunakan bagi memecah sisa batuan yang terdapat di lurang di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India di sini dalam usaha mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata penggunaan kamera oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah mengesan sisa batuan dipercayai akibat tanah jerlus itu pada kedudukan empat meter selepas lurang itu.

"Sisa batuan ini perlu dialihkan agar pasukan SAR dapat melihat jika terdapat sebarang objek asing termasuk mangsa tersangkut pada sisa batuan itu.

"Buat masa ini, kita telah melakukan empat kali kaedah jetting dan kami akan teruskan sehingga sisa batuan ini berjaya dipecahkan sepenuhnya," kata beliau pada sidang media di Jalan Masjid India hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam serta Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat.

Sulizmie Affendy pula berkata pihaknya telah melakukan 'flushing' di semua lurang sekitar lokasi kejadian petang ini dan ia akan diteruskan selain pemantauan di Loji Kumbahan IWK Pantai Dalam.

“SAR kali ini kita guna kepakaran dalam negara sepenuhnya melibatkan termasuk JBPM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan IWK namun polis juga membantu walaupun tiada kepakaran menyelamat. Kami menempatkan anggota bagi mengawal lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata DBKL turut meletakkan kira-kira 100 kampit beg pasir di sekeliling lubang tanah jerlus bagi mengelakkan aliran air hujan masuk ke kawasan korekan di lokasi kejadian.

“Susulan keadaan cuaca yang kurang baik dengan hujan sepanjang hari, pihak DBKL mengambil inisiatif meletakkan beg pasir di lokasi kejadian bagi mengurangkan limpahan air hujan masuk ke kawasan tersebut," katanya. 

Sulizmie Affendy juga berkata operasi SAR akan diteruskan sehingga mangsa dijumpai.

Beliau juga meminta agar pengunjung mengelak daripada berada di sekitar lokasi kejadian kerana ada individu tidak berkaitan yang didapati telah memasuki kawasan bergaris kuning polis. 

“Ini boleh mendatangkan bahaya dan cabaran kerana terdapat gas beracun dalam kawasan pembetungan dan ini juga boleh mendatangkan bahaya kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Jumaat lepas, mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa, yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang melalui kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan