Jalan Sekitar Ipoh Ditutup Bermula Esok Sempena Sambutan Hari Kebangsaan

26/08/2024 08:58 PM

IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Jalan di sekitar bandar raya Ipoh akan ditutup dan dilencongkan selama lima hari bermula esok bagi memberi laluan kepada perarakan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaaan Kali ke-67 Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata perarakan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan itu akan diadakan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh yang terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini.

Beliau berkata antara laluan terlibat dengan raptai perarakan perbarisan sambutan berkenaan bermula pukul 6.30 pagi esok sehingga acara selesai ialah Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan St. John, Jalan S.P Seenivasagam, Jalan Sultan Yusuf, Jalan Dato Maharajalela, Jalan Dato Sagor dan Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sultan Iskandar Shah serta Jalan Bandar Timah.

"Penutupan jalan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh akan dilaksanakan pada Rabu dan Jumaat bagi memberi laluan kepada raptai penuh kawad kawalan kehormatan utama bermula 8 pagi sehingga selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata jalan yang akan digunakan semasa sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti ialah Padang Ipoh, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Sultan Yusuf, Jalan Lahat (Little India), Jalan Tan Sri Tajudin Ali, Bulatan Bahagia (Medan Kidd), Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dan Jalan S.P Seenivasagam.

Mengikut Abang Zainal Abidin, penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan di jalan-jalan berkenaan bermula pukul 6.30 pagi.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan