Ibu, Bapa Tiri Dera Kanak-kanak Hingga Mati Didakwa Esok - Polis

26/08/2024 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Ibu dan bapa tiri kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang maut disyaki akibat didera pada 17 Ogos lepas akan dituduh di Mahkamah Majistret Selayang, esok. 

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan sudah mendapat arahan untuk mendakwa kedua-dua suspek berkenaan.

“Kedua-dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu kesalahan bunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang. 

Pemeriksaan mendapati ada kesan lebam di muka, tangan, kaki serta badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul.

Pasangan berusia 29 dan 28 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pembuat aiskrim itu disambung reman tujuh hari hingga 31 Ogos ini selepas direman seminggu sejak 18 Ogos lepas untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan