Muhyiddin Tiba Di Mahkamah Untuk Pendakwaan Kes Sentuh 3R

27/08/2024 11:09 AM

GUA MUSANG, 27 Ogos (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Gua Musang di sini hari ini, bagi menghadapi pendakwaan berhubung ucapan yang dikatakan menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Ketibaan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 8.43 pagi, diiringi beberapa pemimpin tertinggi PN antaranya Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Penerangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan Malaysia memaklumkan sesi pendengaran kes berkenaan bermula pada 9 pagi ini di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Muhyiddin akan didakwa  mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 selepas pihaknya menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Sebelum ini, tular melalui media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan