Remaja Didakwa Bunuh Nuraina Humaira

27/08/2024 11:59 AM

SUNGAI SIPUT, 27 Ogos (Bernama) -- Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan Orang Asli Nuraina Humaira Rosli pada 16 Ogos lepas. 

Tertuduh berusia 17 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Nuraina Humaira berusia 10 tahun di kawasan paya Kampung Bersah Pos Kuala Mu di sini antara 2.30 hingga 5 petang, 16 Ogos lalu. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pesalah kanak-kanak, hendaklah dipenjara selama mana diperkenan di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mahkamah menetapkan 28 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, patologi dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa serta laporan prestasi pelajaran tertuduh. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.S. Vitthiyeswary yang tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Nuraina Humaira dilaporkan hilang pada 16 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya kira-kira 100 meter dari rumahnya pada petang keesokannya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan