Bapa Tiri, Ibu Kandung Didakwa Bunuh Anak Perempuan

27/08/2024 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Sepasang suami isteri yang merupakan bapa tiri dan ibu kandung kanak-kanak berusia lapan tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini, atas pertuduhan membunuh kanak-kanak itu pada 17 Ogos lepas. 

Pengawal keselamatan Mohamad Zulhelmy Amirrudin, 29, dan suri rumah Norfazira Radzi, 30, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Tiada pengakuan direkodkan kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Mereka didakwa bersama-sama membunuh Nur Anissa Afiera Muhamad Zulhafize di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang antara 11.51 pagi hingga 3.51 petang pada 17 Ogos.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah menetapkan 16 Okt ini untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Izariah Zainal manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Bernama melaporkan penahanan sepasang suami isteri kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan itu ekoran terdapat banyak kesan lebam pada tubuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan