KDNKA Terima Peruntukan RM45 Juta Untuk Naik Taraf, Baiki Kemudahan

27/08/2024 03:33 PM

SEMENYIH, 27 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima peruntukan berjumlah RM45 juta daripada Kementerian Dalam Negeri pada tahun lepas bagi tujuan penyelenggaraan dan perolehan kelengkapan kemudahan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM14.4 juta telah diamanahkan kepada Briged Tengah PGA untuk melaksanakan projek berkenaan.

Beliau berkata Batalion 4 PGA pula telah membelanjakan sebanyak RM6.89 juta bagi melakukan 21 projek pembaikan dan menaik taraf 16 pos kawalan di sepanjang persisir pantai di Selangor.

"Ini merupakan usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertingkatkan infrastruktur ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selesa dan kondusif kepada warga kerja di Batalion 4 PGA," katanya ketika berucap merasmikan Markas Batalion 4 PGA di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan KDNKA Datuk Yusoff Mamat.

Pada ucapannya, Mohd Kamarudin turut menekankan isu integriti pegawai dan anggota semasa melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, dengan beliau menyifatkan amalan rasuah seperti kanser yang boleh memusnahkan keharmonian masyarakat, sistem pentadbiran organisasi, dan pembangunan negara.

"Sehebat mana pun dasar, undang-undang dan sistem yang kita ada,  jika pegawai yang melaksanakannya tidak mempunyai integriti, maka sudah pasti ia tidak akan berjaya.

"Oleh itu, saya tekankan sekali lagi bahawa soal integriti perlu diberikan keutamaan. Saya percaya dengan berbekalkan sikap integriti yang tinggi dan keimanan yang utuh, kita akan sentiasa terpelihara selaras dengan misi PDRM iaitu ‘memberi perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam melindungi negara bagi menjamin masyarakat selamat, aman dan sejahtera’," katanya.

Markas Batalion 4 PGA Semenyih dibina pada 15 Dis 2006 dan siap pada 19 Mei 2009 dengan kos peruntukan sebanyak RM315 juta.

Pada 28 Okt 2010, Batalion 4 PGA dipindahkan dari Markas Briged Tengah Batu 7 Cheras ke lokasi terkini yang berkeluasan 80 hektar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan