Syamsul Yusof Sedia Lafaz Cerai, Ira Kazar Tidak Hadir Ke Mahkamah 

27/08/2024 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rendah Syarie Gombak Timur di sini hari ini diberitahu bahawa Pengarah Filem Syamsul Yusof, telah bersedia untuk melafazkan cerai terhadap isterinya Ira Kazar.

Bagaimanapun, peguam Azmi Mohd Rais mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof selaku plaintif berkata Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin, 29, tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau baharu melantik peguam.

“Saya dimaklumkan defendan (Ira) telah lantik peguam iaitu Muhammad Fadhil Abd Razak dan beliau telah maklumkan Ira tidak akan hadir ke mahkamah hari ini. Saya telah nasihat anak guam saya (Syamsul) untuk tidak hadir pada prosiding hari ini, walaupun beliau telah bersedia untuk melafazkan cerai pada hari ini. 

“Saya tak pasti Ira setuju terhadap permohonanan penceraian ini memandangkan Ira telah lantik peguam, oleh itu saya mohon mahkamah tetapkan tarikh sebutan kes seterusnya untuk dengar penjelasan daripada peguam Ira,” katanya pada sebutan kes di hadapan Hakim Syarie Maizatul Aliza Chee Din.

Pembantu Perundangan Ahmad Fuad Borhan yang hadir bagi pihak Muhammad Fadhil berkata pihaknya telah memfailkan wakalah, iaitu surat lantikan peguam berserta notis pemakluman kepada peguam plaintif tengah hari tadi.

Maizatul Aliza kemudian menetapkan 25 Sept untuk sebutan kes.

Syamsul, 40, memfailkan permohonan penceraian pada 19 Ogos, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.

Beliau bernikah dengan Ira yang juga anak kepada pelakon Kaza Saisi pada 6 Jan 2023 di Selatan Thailand dan kemudiannya mendaftar perkahwinan itu di Perlis pada 20 Jan tahun sama.

Ini merupakan pernikahan kedua Syamsul selepas berpisah dengan Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, pada 14 Jun 2023.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurnia sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan